Cahaya itu masih ada...



Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-Surah Az Zumar,ayat 53.



    Tatkala diri kita bergelumang dengan dosa-dosa,seringkali Allah akan mengurniakan hidayah dan taufik keatas kita untuk kembali ke jalan-Nya.Pasti terdetik di hati kita keinginan untuk berubah,dalam kata lain untuk menjadi lebih baik.Akan tetapi,jalan untuk berubah ini bukanlah jalan yang mudah,jalan yang dihiasi dengan kesenangan dan keseronokan.Akan tetapi,jalan untuk berubah adalah jalan yang sukar.Disinilah Allah akan menilai tahap kesungguhan hamba-hamba-Nya ini untuk berubah.Bagi yang bersungguh-sungguh,maka berjayalah dia.Namun,tidak kurang juga ramai yang tersungkur di tengah jalan dan berputus asa daripada rahmat-Nya.

   Dihujani dengan tohmahan,cercaan dan ancaman merupakan antara cabaran untuk berubah.Yalah,ia adalah normal.Contohnya,jika kita dahulu adalah seorang yang suka berdusta terhadap orang lain.Jika tiba-tiba suatu hari kita menyatakan hasrat untuk berubah kita kepada umum,pasti orang ramai akan merasa sangsi terhadap kita.Namun begitu,Allah akan mempermudahkan segala kesulitan hamba-hamba-Nya yang mahu berubah kerana Allah sayang akan hamba-hamba-Nya.Berdoalah kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemudahan untuk berubah.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran.” [Al-Baqarah : 186]

  Jika orang lain memperkecilkan usaha kita,ingatlah bahawa jalan untuk berubah sememangnya berliku-liku.Akan tetapi,dihujungnya penuh dengan kemanisan.Allah akan mengurniakan ganjaran pahala dan syurga kepada hamba-hambanya yang berjaya mengubah diri mereka kearah lebih baik.

      Pernah diceritakan bahawa terdapat seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah membuat banyak dosa sehinggakan dia digelar oleh penduduknya sebagai lelaki paling jahat di kawasan tersebut.Penduduk kampung tersebut telah menghukum lelaki itu dengan melarangnya untuk tinggal di kampung tersebut.Lelaki tesebut tinggal bersendirian tanpa sebarang makanan dan keperluan-keperluan hidup yang lain.Akhirnya,lelaki itu mati kerana jatuh sakit dan tiada siapa yang merawatnya.
         
         Kemudian,Allah telah memberi wahyu kepada seorang Rasul pada waktu itu:"Seorang hambaku yang sangat ku sayangi telah meninggal dunia.Pergilah mandikan ia dan persiapkanlah jenazahnya.Kemudian,beritahulah penduduk-penduduk di kampung bahawa ssesiapa yang telah bertaubat kepadaku,maka Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka."
           
       Penduduk kampung itu  keluar beramai-ramai untuk solat jenazah terhadap lelaki tersebut.Apabila mereka tiba untuk solat jenazah,mereka menyedari lelaki tersebut merupakan lelaki yang telah mereka hukum keluar dari kampung mereka.Rasul tesebut telah menanyakan Allah:"Wahai Tuhanku,apakah maksudnya ini?".

             Kemudian Allah telah membalas:"Lelaki ini telah dihina,dizalimi dan ditinggalkan keseorangan.Dia telah menghadapi kesukaran ini berseorangan.Lelaki ini tidak mempunyai rakan-rakan ataupun keluarga.Disaat dia tidak mempunyai sesiapa untuk membantunya,dia telah kembali kepada-Ku dengan berkata:"Ya Allah,jika aku tahu dengan menghukum aku,kekuasaan-Mu akan bertambah dan jika dengan mengampunkan aku,kekuasaan-Mu akan berkurang,aku tak akan meminta keampunan dari-Mu.Tapi,aku tahu dengan mengampunkan aku,kekuasaan-Mu tidak akan sesekali berkurang dan dengan menghukum aku,kekuasaan-Mu tidak akan sesekali bertambah.Dan aku tidak ada sesiapa lagi,tidak ada harapan lagi,tidak ada perlindungan lagi melainkan dari diri-Mu.Jadi,ampunkanlah aku."

            Lelaki tersebut telah mati ketika itu juga.Kemudian Allah telah berfirman kepada Rasul tersebut:"Taubat lelaki ini adalah sangat hebat sehinggakan dia berfikiran sempit untuk meminta keampunan untuk dirinya sahaja.Dan jika dia meminta keampunan bagi seluruh manusia,Aku bersumpah dengan keagungan Aku bahawa Aku akan mengampunkan mereka."

            Lihatlah,Allah Maha Pengampun dan Pengasih terhadap hamba-hambanya.Memetik kata-kata seorang pendakwah:"Seorang pendosa tidak akan memasuki neraka melainkan dia mati sebelum sempat bertaubat dan tidak sempat bertaubat sebelum matahari terbit dari barat".Ambillah peluang ini dan berubahlah menjadi lebih baik!


0 respon ikhlas:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger