Apabila "Supernatural" Menjadi Pegangan Aqidah

Sahabat,mari kita imbas kembali tragedi tsunami yang melanda di bumi acheh.Disebalik kemusnahan dan kehancuran,disebalik tangisan dan kesedihan,muncul satu fenomena yang menjadi santapan perbualan rakyat tentang masjid yang berdiri teguh di tengah-tengah kehancuran tsunami itu.Maka ia pun menjadi dalil betapa benarnya agama Islam.
Menyedari hakikat ini,ramai umat Islam menyebarkan hikayat ini dek kerja dakwah dan sebagainya sehinggakan ada yang membangga-banggakan Islam sebaliknya memperlekehkan agama yang lain.

Namun baru-baru ini,negara Filipina digemparkan dengan fenomena taufan yang amat dahsyat.Usai semua itu,kelihatan satu patung jesus teguh berdiri di tengah-tengah kehancuran yang dilanda taufan itu.Maka bergema pula ia tanda kebenaran agama kristian.

"Bagaimana patung itu boleh kekal berdiri selepas dibelasah taufan?Logikkah?Adakah Kristian merupakan agama yang benar?


Umat Islam di Malaysia khususnya kaum Melayu sangat takjub dengan perkara keajaiban yang berlaku di sekeliling mereka.Jika ada pokok kaktus yang berbentuk kalimah Allah,kalimah Allah terbentuk di dalam daging dan sebagainya terus dijadikan dalil betapa benarnya agama Islam.Apatah lagi melihat pokok atau batu yang ruku' dan sujud.



Namun,adakah begini cara Islam membenarkan imannya di hati?Adakah dengan cara melihat sesuatu kebesaran atau keajaiban kita terus menjadikan ia dalil betapa benarnya sesuatu agama itu?

Bagaimana pula apabila gambar atau patung agama yang lain terbentuk menjadi awan,terbentuk dalam daging dan sebagainya.Adakah automatik agama mereka menjadi benar?

Agama yang benar ialah agama yang diturunkan sendiri oleh Tuhan, dan Tuhan mengiktiraf kesohihan agama tersebut.

Bagaimana hendak kita ‘detect’ agama itu diturunkan sendiri oleh Tuhan Semesta Alam?

Dengan mengkaji kitab suci yang ada.Berbalik kepada sumber agama tersebut.Oleh sebab itu,jika para ilmuan membuat pebandingan agama,mereka tidak menumpukan kepada keajaiban yang berlaku pada sesuatu agama tersebut.Mereka menumpukan kepada kesahihan sumber agama tersebut."Bagaimana agama itu terbentuk?Adakah sumber fakta yang diperoleh benar?Siapakah pengutusnya?" dan sebagainya.

Sudah banyak kali Allah mencabar manusia agar menciptakan satu surah yang serupa dengan Al-quran.Contohnya:

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang Al Quran yang Kami turunkan iaitu Al Quran kepada hamba Kami Nabi Muhammad, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Al-Baqarah ayat 23.


“Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu bahkan mereka mengatakan, dialah Muhammad yang mengada-adakan Al Quran menurut rekaannya, katakanlah wahai Muhammad, kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah untuk membantu kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Yunus ayat 38.


Saya tidak menafikan bahawa kebesaran itu datang daripada Allah tetapi jangan terlalu taksub dan terus meletakkannya sebagai dalil kebenaran sesuatu agama.Ambillah Al-quran sebagai dalil kebenaran agama Islam.Ini kerana kita takut apabila kita mengakui 'supernatural' itu sebagai dalil kebenaran agama tetapi apa yang disyariatkan oleh agama tidak dilaksanakan.

Seperti malam lailatul qadr,benar bahawa malam itu lebih baik daripada seribu bulan tetapi ada segelintir masyarakat kita yang taksub dengan kenyataan ini dan mencari 'supernatural' yang ada pada malam itu sehinggakan ibadah sunat yang dituntut tidak dilaksanakan.

Sama-sama kita islah diri,jadikan al-quran sebagai dalil kebenaran sesuatu agama dan keajaiban sebagai bukti kebesaran Allah.

Perbaiki diri sendiri dan seru orang lain....




Jenayah & Umat Islam



"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."(Al Baqarah : 13)



Antara kelebihan yang Allah telah tetapkan didalam agama Islam ialah terdapat banyak ayat-ayat Al Quran yang menyeru umat Islam supaya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan baik.Sirah perjuangan Rasulullah s.a.w telah merekodkan bagaimana baginda mampu berdakwah pada awal-awal misi dakwah baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam bersama sahabat-sahabat baginda yang lain kerana peribadi Rasulullah s.a.w yang sering menghidupkan semangat ukhuwah diantara mereka.

Dengan memegang kukuh terhadap intipati ayat inilah para sahabat Rasulullah s.a.w mampu melebarkan usaha dakwah ke negara-negara seperti Habsyah dan Parsi.Kejayaan mereka menyebarkan risalah dakwah serata dunia ini telah mencerminkan bagaimana mereka ini telah mengimplementasikan suruhan-suruhan Allah didalam Al Quran supaya berdakwah kepada umat manusia.Mereka bukan sahaja menyahut suruhan Allah dengan berdakwah semata-mata,bahkan mereka ini telah memberikan perlindungan kepada negara-negara yang rela bernaung di bawah kekuasaan Islam ketika itu.

Tndakan bertoleransi mereka telah menjadi bukti yang cukup kukuh pada hari ini bahawa Islam adalah agama yang menawarkan kedamaian dan bukanlah keganasan sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian besar para orientalis Barat.

Namun kini,umat Islam sendiri yang telah sering mencetuskan keganasan-keganasan yang kadang-kadang sukar dipercayai.Seakan-akan tiada paparan berita selain daripada keganasan-keganasan yang dilakukan majoritinya oleh umat Islam sendiri.

Keganasan disini bermaksud jenayah-jenayah.Tersentak hati tatkala terbaca mengenai tiga orang adik-beradik yang dipercayai telah dibunuh.Boleh dikatakan hampir setiap minggu negara kita digegarkan dengan kisah-kisah pembunuhan dimana majoriti suspeknya ialah orang Islam.Tinggal di negara sendiri seakan-akan tidak selamat lagi.Dunia hari ini juga menyaksikan bagaimana nyawa manusia bagaikan tiada harga,sewenang-wenangnya mereka dibunuh.

Jenayah juga terbukti mampu untuk melonggarkan ikatan ukhuwah diantara umat Islam.Umat Islam akan saling bercakaran dan saling tuduh-menuduh terhadap jenayah tersebut.Perkara sebegini pastinya dilihat sebagai peluang yang baik oleh para orientalis Barat untuk terus mengaitkan Islam dengan keganasan berdasarkan kadar jenayah yang tinggi di negara-negara Islam.

Kesimpulannya,umat Islam amat dituntut untuk segera berpegang dengan teguh terhadap suruhan-suruhan Allah.Umat Islam juga wajib untuk mengambil Islam secara total tanpa mengambil sesetengah suruhan dan meninggalkan sebahagian yang lain.

"Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam),dan janganlah kamu bercerai-berai" ( Ali Imraan : 103 )

"Wahai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan,sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." ( Al Baqarah: 208 )


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger